Keracunan makanan ialah apa jua penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar.
Dilaporkan bahawa terdapat 6624 kes keracunan makanan pada tahun 2003 (kadar insiden 26.44/100,000 penduduk).
Apa yang menyebabkan keracunan makanan?
Punca keracunan makanan :
•Bakteria atau racun (toksin) bakteria tersebut dan virus
• Bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai
• Logam berat seperti tembaga, raksa dan plumbum
• Tumbuhan dan hasil laut yang beracun seperti kulat, cendawan dan hasilan laut bercengkerang seperti kekeran
Apakah tanda dan gejala keracunan makanan?
Tanda dan gejala keracunan makanan bergantung kepada :
• Keracunan tersebut
• Kuantiti/jumlah bakteria, virus atau agen penyebab toksin yang telah dimakan
• Umur seseorang
• Sistem ketahanan badan (imuniti) seseorang
Pesakit itu mungkin akan mengalami :
• Rasa loya
• Cirit-birit
• Muntah-muntah
• Sakit perut
• Berpeluh/demam
• Sakit kepala
Apakah kesan (komplikasi) daripada keracunan makanan?
Keracunan makanan boleh mengakibatkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal.
Ia juga boleh mengakibatkan kecacatan seperti lumpuh atau sakit sendi-sendi yang berpanjangan (kronik).
Apakah yang menyebabkan terjadinya keracunan makanan?
Antara sebab terjadinya keracunan makanan ialah:
• Makanan ditinggalkan pada suhu bilik untuk tempoh yang lama (lebih dari 4 jam)
• Makanan tidak dimasak dengan sempurna
• Makanan tidak disimpan dengan baik (makanan yang mentah di disimpan bersama dengan makanan yang telah dimasak)
• Makanan yang telah sejuk tidak dipanaskan dengan sempurna
• Makanan yang beku seperti daging tidak dinyahbekukan dengan sempurna sebelum dimasak
• Memakan lebihan makanan secara terus tanpa dipanaskan dengan sempurna
• Kaedah penyediaan makanan yang tidak bersih
• Makanan tersebut disediakan oleh orang yang menghidapi atau pembawa penyakit yang disebarkan melalui makanan seperti typhoid dan taun
Bagaimana untuk mengelakkan keracunan makanan?
Cara-cara untuk mengelakkan keracunan makanan:
•Sentiasa menjaga kebersihan ◦ Basuh tangan dengan betul sebelum menyentuh makanan
◦ Basuh tangan selepas keluar dari tandas
◦ Basuh dengan bersih permukaan tempat makan atau penyediaan makanan dan peralatan yang digunakan untuk menyediakan makanan
◦ Pastikan kawasan dapur bebas dari serangga dan haiwan seperti tikus dan haiwan-haiwan yang lain
•Sentiasa pisahkan makanan mentah dari yang telah dimasak: ◦ Asingkan daging ayam dan makanan laut yang mentah dari yang telah dimasak
◦ Gunakan peralatan seperti pisau dan papan pemotong yang berbeza untuk penyediaan makanan yang belum dimasak
◦ Simpan makanan yang telah dimasak dan yang mentah didalam bekas yang berbeza untuk mengelakkan dari pencemaran silang
•Sentiasa masak dengan sempurna ◦ Masak dengan sempuna, terutama sekali daging, ayam, telur dan makanan laut
◦ Panaskan makanan atau lebihan makanan dengan sempurna
•Sentiasa simpan makanan pada suhu yang betul ◦ Jangan tinggalkan makanan pada suhu bilik lebih dari 4 jam
◦ Simpan semua makanan yang telah dimasak dan yang mudah basi didalam peti sejuk
•Sentiasa gunakan air dan bahan mentah yang bersih ◦ Minum hanya air yang telah dimasak atau air minuman yang dibotolkan/berbungkus.
◦ Pilih makanan yang segar dan berkhasiat
◦ Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran dengan sempurna jika dimakan mentah (ulam, salad)
•Sentiasa pilih kedai makan yang bersih jika makan diluar
◦Hindari dari gerai/kedai makan yang kotor
Apa yang perlu saya lakukan jika mengalami keracunan makanan?
• Segera ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan
• Simpan makanan yang disyaki untuk siasatan oleh pegawai kesihatan
• Pastikan tiada orang lain makan makanan tersebut
• Maklumkan dengan segera Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat
sumber:MyHEALTH

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima Kasih...Datang Lagi.